Panduan Memulakan Perniagaan Sendiri Di Australia

Peniaga kecil di depan kedai beliau.

Australia Explained - Peniaga kecil di depan kedai beliau. Credit: MoMo Productions/Getty Images

Get the SBS Audio app

Other ways to listen

Memulakan perniagaan sendiri membuka pelbagai peluang keemasan kepada mereka yang menceburinya. Lebih-lebih lagi di Australia yang menawarkan infrastruktur yang kukuh, inisiatif dari pihak kerajaan seperti pinjaman modal, pemotongan cukai untuk menggalak perkembangan perniagaan kecil serta kewujudan pekerja mahir dari seluruh dunia.


Tajuk Utama
  • Sesebuah perniagaan boleh dijalankan secara perseorangan, sebuah syarikat atau rakan kongsi.
  • Anda tidak perlu mendaftar perniagaan untuk GST sehingga jumlah hasil mencecah $75,000.
  • Australia menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan kepada bakal usahawan termasuk peruntukan dana, pinjaman dan pelaburan dari pihak swasta.
Ekonomi Australia yang kukuh serta sektor perniagaan yang menerima sokongan dari pelbagai pihak menawarkan peluang kepada wara negara ini untuk menceburi diri dalam sektor keusahawanan.

Memulakan perniagaan sendiri mampu mendatangkan pelbagai manfaat tak kiralah sama ada anda mempunyai idea yang unik atau minat dalam sesuatu bidang yang boleh mendatangkan keuntungan.

Nadine Connell ialah pengarah Smart Business Plans Australia.

Beliau yakin Australia ialah salah sebuah negara terbaik dan paling mudah untuk menjalankan perniagaan.
Kerajaan Australia menawarkan pelbagai insentif melalui peruntukan kewangan yang mencecah 70 bilion serta perundangan yang jelas dan mudah bagi menggalakkan warganya menjadi usahawan berinovatif.
Nadine Connell
Sementara itu, Abdalla Abdallah, penganalisis ekonomi di Sydney yakin dengan kestabilan ekonomi Australia yang menjadi asas teguh untuk usahawan dan pelabur.

"Ekonomi Australia terus berkembang, walaupun wabak COVID-19 menyebabkan penurunan kecil. Namun, sejak tiga dekad lalu, ekonomi negara ini terus meningkat pada tahap yang amat menggalkkan."

Abdallah juga menekankan Australia mempunyai sistem perundangan yang telus dan saksama, justeru menjamin hak usahawan dan peniaga di negara ini.

1632969295970.jfif
Penganalisis Ekonomi, Abdallah Abdallah

Jenis Perniagaan

Sebelum anda memulakan perniagaan yang ingin dijalankan terlebih dahulu anda perlu memahami struktur perniagaan di negara ini.

Perniagaan wujud dalam beberapa bentuk iaitu entiti pemilik tunggal, sebuah syarikat atau rakan perkongsian dan setiap satunya dengan keperluan dan perundangannya sendiri.                     

Menurut Abdallah, setiap jenis perniagaan beroperasi secara berbeza bergantung kepada matlamat perniagaan anda.

Jika anda hanya ingin menjalankan perniagaan kecil yang menawarkan perkhidmatan kepada kawasan yang terhad tanpa niat untuk berkembang, entiti peniaga tunggal adalah paling sesuai untuk anda.

Namun, jika anda ingin perniagaan dan jenama anda berkembangan tanpa had, maka anda perlu tubuhkan sebuah syarikat.

Terlebih dahulu, tentukan struktur perniagaan anda kemudian daftar syarikat bagi memastikan segala peraturan dan keperluan perundangan dipatuhi.

Menurut Nadine Connell, proses pendaftaran ini mudah dan hampir segala maklumat yang diperlukan boleh diperolehi dari laman web kerajaan termasuk mendapatkan nombor perniagaan Australia atau ABN bagi mereka yang bertujuan memulakan perniagaan perseorangan.

Semua perniagaan perlu berdaftar di bawah skim GST sekiranya hasil perniagaan melebihi $75,000.
Mengira tip yang ditinggalkan oleh pelanggan
Jika anda memerlukan bantuan kewangan, kerajaan Australia menawarkan pelbagai bantuan. Credit: SolStock/Getty Images
Sebaliknya, jika anda berniat menubuhkan sebuah syarikat, Abdallah menyarankan usahawan terbabit mendapatkan bantuan nasihat seorang akauntan untuk mendapatkan nombor syarikat atau Australian Company Number, A-C-N, melalui Suruhanjaya Sekuriti dan Pelaburan Australia.

Abdalla Abdallah menyarankan bakal usahawan supaya prihatin terhadap segala keperluan perundangan dan pematuhan tambahan yang perlu dilaksanakan.

Langkah ini penting bagi mengelak sebarang masalah yang mungkin timbul setelah perniagaan mula beroperasi.

Antara langkah tambahan termasuk mengambil polisi insuran bersesuaian dengan keperluan perniagaan.

Umpamanya, jika anda menawarkan perkhidmatan, anda perlu insuran gantirugi.
Dan jika perniagaan anda menawarkan produk atau makanan, anda perlu mempunyai insuran barangan serta pematuhan pengedalian makanan yang dijual.

Perancangan Perniagaan

Bagi setiap perniagaan yang berjaya pastinya wujud pelan bisnes yang mantap.

Saranan Nadine Connell, kaji terlebih dahulu pasaran anda.

Tambah beliau, "Siapakah saingan anda? Apakah produk yang ingin dijual dan berapakah harga yang ingin ditetapkan? Jika anda memahami segala aspek perniagaan yang ingin diceburi, maka kejayaan lebih terjamin."

pelanggan meneliti basikal yang ingin dibeli
Perniagaan boleh dijalankan sebagai peniaga perseorangan, sebuah syarikat atau rakan perkongsian. Credit: Superb Images/Getty Images

Bantuan Kewangan

Jika anda perlukan bantuan kewangan untuk memulakan perniagaan anda, kerajaan Australia menawarkan beberapa perkhidmatan yang mampu membantu anda.

Dan bantuan ini terbuka kepada semua jenis perniagaan.

Antara bentuk bantuan yang disediakan termasuk pinjaman, peruntukan dana serta pelaburan dari sektor swasta.    

Untuk senarai peruntukan bantuan kewangan, sila layari laman web .

Menurut Nadine Connell, bantuan ini dihulurkan kepada perniagaan dalam segala sektor.

Image.jfif
Nadine Connell - Director of Smart Business Plans Australia
Anda juga boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut dari agensi kerajaan negeri anda.

Umpamanya, Services NSW yang menawarkan perkhidmatan nasihat kepada bakal usahawan yang ingin membuka perniagaan sendiri. 

Cassandra Gibbens, Pengarah Eksekutif, menerangkan agensi ini membantu peniaga memula, mengendali, mengembang serta mengubahsuai perniagaan mereka. Dan kesemuanya bantuan ini diberi secara percuma.
Kami menyediakan maklumat termasuk panduan memohon bantuan kewangan untuk memulakan perniagaan melalui peruntukan dana serta rebat yang boleh diperolehi setelah perniagaan mula beroperasi.
Cassandra Gibbens
Dalam pada itu, Nadine Connell menggesa bakal usahawan supaya tabahkan hati mengambil langkah pertama untuk memulakan perniagaan yang mungkin telah sekian lama tersirat di hati.

Saranan beliau, selidik terlebih dahulu jenis perniagaan yang ingin diceburi kemudian kaji pasaran yang tersedia ada.

Jangan lupa untuk mempertingkatkan rangkaian hubungan atau contact anda dan bersedia untuk mengubahsuai pelan perniagaan supaya lebih menepati pasaran anda.

Lazimnya, setiap perniagaan yang maju dan berjaya bermula setelah seseorang itu berani mengorak langkah pertama.


Share