Mendekati Keberkesanan Perubatan Tradisional Kaum Orang Asli

Debbie Watson.jpg

Dukun warga asli Debbie Watson

Get the SBS Audio app

Other ways to listen

Memahami dan mendalami amalan perubatan kaum orang asli negara ini yang menggabung pendekatan holistik zahir dan batin mampu mempertingkatkan lagi keberkesanan perkhidmatan kesihatan umum yang ditawarkan kepada semua warga Australia.


Tajuk Utama
  • Bagi warga pertama Australia, kesihatan adalah suatu konsep holistik yang menggabungkan pendekatan kesejahteraan jasmani dan rohani.
  • Perubatan tradisional ialah gabungan aspek yang ketara dengan aspek rohaniah.
  • Dukun warga asli mewarisi ilmu pengetahuan mereka sejak turun temurun.
  • Kesepaduan kaedah perubatan traditional dan moden mampu memastikan perkhidmatan perubatan menyeluruh yang prihatin terhadap keperluan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Bagi kaum orang asli negara ini, konsep kesihatan tidak hanya terhad kepada mengelak dari penyakit dan kemudaratan jasmani sahaja

Sebaliknya, kaum Aboriginal dan Orang Kepulauan Selat Torres mengamal konsep holistik yang menyeluruh membabitkan kesejahteraan dalam segala aspek fizikal, emosi, sosial dan kerohanian.

Justeru, pendekatan perubatan tradisional orang asli tidak hanya tertumpu kepada mengubati sakit lelah sahaja, sebaliknya ia mengimbangkan kesejahteraan jasmani dan rohani.

Dr Alana Gall ialah seorang wanita dari suku kaum Truwulway dari daerah timur laut Lutruwita.

Menurut beliau, pendekatan perubatan tradisional ini sememangnya menjadi sebahagian kehidupan beliau sejak kecil.

“Komuniti kami mengamalkan pendekatan perubatan tradisional yang menggabung segala aspek kehidupan suku kaum kami."
Dr Alana Gall.jpg
Dr Alana Gall
Dr Gall juga ialah seorang penyelidik bidang perubatan naturopati di Southern Cross University.

Beliau juga memegang pelbagai jawatan termasuk sebagai Pengarah Bahagian Perubatan Tradisional Kaum Orang Asli dalam Perbadanan Perubatan Tradisional, Komplementari dan Bersepadu.

Beliau menganggap pendekatan perubatan yang diamalkan oleh kaum orang asli negara ini sebagai suatu paradigma.

Katanya, ramai yang mengganggap pendekatan perubatan tradisional kaum orang asli ini sebagai perubatan kampung atau bush medicine, namun gelaran ini tidak tepat.

Tambah beliau, perubatan tradisional kaum orang asli tidak terhad kepada ubat-ubatan sahaja, sebaliknya merangkumi bahan makanan dan ramuan yang mampu mempertingkatkan kesejahteraan jasmani serta rohani.
Kaum orang asli menganggap bumi yang didiami mempunyai kuasa mengubati dan menyembuhi kita semua. Justeru, wujudnya aspek perubatan bumi. Inilah yang dimaksudkan sebagai asas pendekatan perubatan kaum orang asli negara ini dari segi ilmu yang diwarisi serta cara kehidupan yang diamali.
Dr Alana Gall

Dukun Perubatan Tradisional

Debbie Watson ialah seorang dukun dari suku kaum Pipalyatjara dari daerah Aṉangu Pitjantjatjara Yankunytjatjara di South Australia.

Pendekatan beliau ialah melalui penggunaan kaedah Ngangkari yang telah menjadi amalan sejak 60-ribu tahun lalu dan kini diwarisi oleh suku kaum beliau.

Menurut Watson, kaedah perubatan tradisional Ngangkiri mengguna pendekatan ilmu yang diwarisi sejak turun-temurun lagi untuk mengubati dan mengawal kesakitan, trauma, keresahan dan tekanan serta masalah lain yang dialami warga dunia moden.

Jelas beliau, jika kerohanian seseorang itu terganggu atau tersekat, ianya mampu menyebabkan kesakitan, keresahan serta ketidaktenteraman diri.

Namun tambahnya, "Roh seseorang itu tidak boleh dicederai."

Menurut Watson, ilmu kedukunan ini diajari oleh bapa beliau sejak kecil lagi, manakala bapa beliau pula mewarisi ilmu terbabit daripada nenek moyang beliau.

Katanya, "Bapa saya mengajar saya menjadi seorang dukun yang cekap dan kuat."
Debbie Watson 2.jpg
Debbie Watson
Debbie Watson ialah juga salah seorang pengasas Korporasi Aboriginal Aṉangu Ngangkaṟi Tjutaku, atau singkatannya, ANTAC.

ANTAC ialah kesatuan unggul Pertubuhan Dukun di Australia yang membantu mengekalkan amalan perubatan secara tradisional ini sejak turun temurun lagi.

Ia juga menawarkan perkhidmatan dukun bukan setakat kepada kaum orang asli sahaja, malahan kepada masyarakat umum.

Dalam pada itu, Dr Francesca Panzironi yang berhijrah dari Itali ke Australia pada tahun 2001 untuk mempelajari bidang undang-undang di University of Sydney kini berkerjasama dengan Debbie Watson dalam bidang perubatan tradisional.

Pada mulanya, Dr Panzironi menumpukan pengajiannya dalam bidang hak asasi manusia antarabangsa dan hak kedaulatan kaum orang asli.

Namun, minat beliau bertukar arah kepada perubatan tradisional yang sebelum ini beliau tidak lansung ketahui.
Dr Panzironi dan Debbie Watson.jpg
Dr Francesca Panzironi bersama Debbie Watson
Ramai yang mendapati kaedah perubatan tradisional berjaya memulihkan kemudaratan yang dialami. Mereka inginkan rawatan tradisional. Ianya bukan setakat teori sahaja.
Dr Francesca Panzironi
Kini pertubuhan ANTAC berazam menyediakan perkhidmatan perubatan tradisional Aboriginal dalam sistem perubatan Australia yang sedia ada.

Bagi Dr Panzironi, pendekatan perubatan moden dan tradisional mampu berfungsi secara bersepadu.

“Pendekatan Perubatan Bersepadu"

Brett Rowling ialah dari suku kaum Bungoree dan Matora.

Rowling juga bekerja rapat dengan Dr Gall.

Menurut beliau, perubatan tradisional dan moden, walaupun pada dasarnya bertentangan, sebenarnya mampu bersepadu dalam fungsi dan matlamatnya.
Di satu sudut, perubatan tradisional kaum orang asli membabitkan warisan serta pengajian yang diturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya, manakala di sudut bertentangan ialah kaedah perubatan moden yang bergantung pada data dan analisis. Pada dasarnya, kedua-dua kaedah ini bertentangan namun ianya mampu disatupadukan.
Brett Rowling
Rowling memberi contoh ubat paracetamol yang mempunyai pelbagai kajian terhadap keberkesanannya.

Namun menurut beliau, walaupun tiada kajian mendalam dilakukaan terhadap perubatan tradisional orang asli, keberkesanannya terbukti sejak turun temurun lagi.
Brett Rowling.jpg
Brett Rowling
Menurut Dr Alana Gall, tanpa perlindungan sewajarnya, masyarakat yang paling memerlukan pendekatan perubatan sebegini iaitu kaum orang asli mungkin tidak boleh mengakses atau menikmati manfaatnya.

Dan keadaan ini amat membimbangkan beliau.

Tambahnya, "Manfaat perubatan tradisional ini mampu dinikmati masyarakat umum, bukan setakat di negara ini malahan di seluruh dunia."

Memahami dan menghormati pendekatan perubatan kaum orang asli adalah antara langkah penting untuk mengutarakan pendekatan lebih menyuluruh dalam perkhidmatan kesihatan negara ini yang mengambil kira sumbangan penting kaum warga pertama Australia.

Share