Keistimewaan Warisan Tenunan Warga Pertama Australia

Australia Explained: Warisan tenunan warga pertama Australia - wanita kaum asli mengayam daun pandan

Ramingining, Arnhem Land, Northern Territory, Australia, 2005. Credit: Penny Tweedie/Getty Images

Get the SBS Audio app

Other ways to listen

Salah satu contoh teknologi dan budaya kompleks dan canggih yang digunapakai oleh warga pertama Australia atau the First Nation People ialah warisan tenunan mereka. Hasil tenunan kaum orang asli negara ini begitu indah dan halus mutunya, namun ramai yang tidak sedari bahawa proses tenunan itu sendiri mempunyai erti yang begitu mendalam. Budaya tenunan memupuk semangat perkongsian ilmu pengetahuan, kemahiran serta memperkukuhkan kesepaduan di kalangan masyarakat warga pertama negara ini.


Tajuk Utama
  • Hasil tenunan memperkukuhkan lagi talian di antara penenun, bangsa dan warisan.
  • Amalan tenunan mampu memupuk ketenangan fikiran serta menjalin perhubungan kemasyarakatan.
  • Setiap penenun mempunyai teknik dan gaya tersendiri.
  • Menenun tidak terhad di kalangan kaum wanita sahaja, ianya diajar kepada kaum lelaki dari kecil sehingga remaja.
Setiap hasil tenunan melambangkan ikatan di antara penenun, negara dan warisan.

Proses tenunan bermula dengan pengumpulan dan penyediaan bahan-bahan seperti mensiang, kulit kayu dan tumbuhan.

Kesemua bahan ini dianyam mengikut corak dan dibentuk menjadi objek indah seperti bakul, mangkuk, tali dan jala.

Cherie Johnson dari suku kaum Gomeroi dari daerah NSW Utara ialah seorang artis dan pendidik yang mula menenun sejak usia 16 tahun.

Menurut beliau, menenun mungkin mempunyai hanya satu definasi sahaja dalam Bahasa Inggeris.

"Namun, dalam bahasa asli negara ini, wujud pelbagai perkataan berkaitan tenunan. Apa yang penting ialah ilmu yang diperolehi sejak turun temurun termasuk jenis tumbuhan yang boleh digunakan sebagai bahan tenunan."

AFLW Rd 8 - Yartapuulti v Gold Coast
ADELAIDE, AUSTRALIA: Bengkel tenunan untuk masyarakat umum di perkarangan stadium Precinct Village menyusul perlawanan AFLW. Credit: Kelly Barnes/AFL Photos/via Getty Images

Tenunan Mengukuhkan Kesepaduan

Tenunan ialah suatu proses yang membabitkan penyertaan semua lapisan masyarakat kaum orang asli negara ini.

Lazimnya, sambil menenun, warga emas dan golongan muda berkumpul untuk berbual, berkongsi cerita dan mendalami ilmu yang diwarisi sejak turun temurun.

Tambah Cherie Johnson, "Menenun bukan setakat mengayam semata-mata. Ia juga memerlukan pemahaman kepentingan bahan yang digunakan serta hasil tenunan yang tercapai."

Ya, Pastinya Kaum Lelaki Turut Menenun

Jangan sesekali fikir tradisi tenunan hanya menjadi amalan di kalangan kaum wanita sahaja.

Kaum lelaki warga asli negara ini juga turut terbabit dalam budaya tenunan ini.

Luke Russell ialah penjaga suku kaum Worimi dari daerah Newcastle di NSW.

Bagi Russell, sejak kecil lagi, kanak-kanak lelaki diajar menenun bersama kanak-kanak perempuan sehinggalah ke zaman remaja mereka di bawah bimbingan wanita tetua kaum terbabit.
Bagi saya, ilmu yang diwarisi dari nenek moyang akan diturunkan kepada generasi muda termasuk cara membina kanu menggunakan kulit kayu, lembing untuk memancing ikan serta peralatan lain.
Luke Russell, pewaris suku kaum Worimi dari daerah Newcastle di NSW.
Proses tenunan berbeza dari kaum ke kaum.

Perbezaan ini ketara dari segi penggunaan warga dan corak tenunan.
Australia Explained: Hasil tenunan Warga Pertama Australia - tikar yang ditenun menggunakan daun pandan
Australia Explained: Hasil tenunan Warga Pertama Australia - tikar yang ditenun menggunakan daun pandan. Credit: Richard I'Anson/Getty Images

Meditasi Melalui Penenunan

Proses menenun boleh dianggap sebagai suatu meditasi yang mampu membantu penenun memfokus pemikiran mereka.

Cherie Johnson yakin amalan ini membantu penenun mencapai ketengan jiwa dan pemikiran.

Menurut beliau, "Komuniti kami mengamalkan tenunan sekeluarga. Ianya mengeratkan lagi tali persaudaraan. Malahan, golongan penenun didampingi masyarakat sekeliling untuk menikmati sajian minuman teh serta mendengar cerita dan sejarah warisan kaum orang asli."

Keunikan Corak Dan Gaya Tenunan

Satu aspek warisan tenunan ialah keunikan hasil tenunan di antara kaum warga asli negara ini.

Apa yang ketara ialah bahan tenunan seperti mensiang, kulit kayu dan rumput rampai yang berbeza bergantung kepada daerah bahan-bahan terbabit dikumpul.

Dan setiap penenun mengayam dengan cara tersendiri mengikut tradisi dan budaya suku kaum masing-masing.

"Setiap penenun mengguna bahan pewarna yang berbeza dan bahan pewarna ini diperolehi dari bunga, kulit kayu serta akar-umbi yang berbeza dari suatu daerah berbanding daerah yang lain," tambah Cherie Johnson.

Lazimnya, seorang pakar tenunan mampu mengenalpasti asal-usul hasil tenunan hanya dengan mengkaji warna, corak, cara anyaman serta bahan yang digunakan.
Cherie Johnson, artis dan pendidik
Setiap hasil tenunan melambangkan kemahiran dan personaliti penenun terbabit.

Bagi artis Nephi Denham, dari suku kaum Girramay, pemilik tradisional daerah Cardwell di Queensland Utara, kadang-kala identiti penenun itu boleh dikenalpasti melalui tapak objek yang ditenun.

“Setiap penenun, termasuk saya sendiri, mempunyai gaya tenunan tersendiri. Setiap tapak hasil tenunan menunjuk sama ada tenunan terbabit bermula dari sebelah kiri atau kanan. Dari situ, identiti penenun boleh dikenalpasti."

Australia Explained: Hasil tenunan Warga Pertama Australia - Seorang wanita mengayam bakul menggunakan daun pandan
Australia Explained: Hasil tenunan Warga Pertama Australia - Seorang wanita mengayam bakul menggunakan daun pandan Credit: Richard I'Anson/Getty Images

Peluang Masyarakat Umum Mendekati Warisan Tenunan Warga Asli Negara Ini

Budaya tenunan tidak hanya terhad kepada warga asli sahaja.

Masyarakat umum juga digalak mengambil bahagian untuk mempelajari dan mendalami budaya kaum orang asli negara ini.

Cassie Leatham ialah seorang lagi artis dan penenun dari suku kaum Taungurung dari bangsa Kulin di Victoria.

Leatham turut mengendalikan bengkel budaya kaum warga asli yang terbuka kepada masyarakat umum yang memberi peluang kepada masyarakat sekeliling mencuba dan menghayati proses dan budaya tenunan orang asli negara ini.

Namun, satu aspek yang perlu diingati ialah menghormati protokol.

Saranan Leatham, "Masyarakat umum digalak menghayati budaya warga asli negara ini tanpa mengeksploitasi ilmu yang dipelajari demi keuntungan peribadi. Sebaliknya, masyarakat sekililing perlu memaklumkan budaya dan ilmu yang dipelajari dari kaum orang asli."

Populariti Warisan Tenunan

Profil tenunan kaum orang asli kini semakin meningkat dan hasilnya kini boleh dilihat di pelbagai arena.

Menurut Cassie Leatham, perkembangan ini penting bagi memaparkan kekayaan budaya dan kehidupan masyarakat warga asli di negara ini.

Kini, hasil tenunan Warga Pertama Australia bukan setakat terpapar di galeri-galeri terkemuka, ia juga di pamerkan oleh pihak individu dan swasta yang terpesona dengan keindahannya.

Malahan, hasil tenunan juga turut diguna dalam rekaan fesyen yang diperagakan dalam pertunjukan pereka fesyen negara ini.

Share